The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Wajah Bola Selangor: Mohammad Nor Ashraff Bin Amran

Oct 31, 2025 - FAS

Ikuti edisi Wajah Bola Selangor kali ini yang menyingkap perjalanan seorang fisioterapis Red Giants Medical Centre, antara individu terawal yang telah menabur khidmat bersama Selangor FC dalam bahagia perubatan sukan.

Bermula daripada minat mendalam terhadap bidang fisioterapi sehinggalah kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Cawangan Red Giants Medical Centre (RGMC) di Shah Alam, Mohammad Nor Ashraff Bin Amran membuktikan bahawa keazaman, ilmu dan pengalaman mampu membawa perubahan besar dalam dunia fisioterapi. Dengan pengalaman hampir sedekad, beliau bukan sahaja menjadi antara fisioterapis Selangor FC (SFC) yang berkaliber, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu ramai atlet dan pesakit awam kembali pulih serta menjalani kehidupan aktif.

Lulusan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) dalam jurusan Fisioterapi ini mula mengenali bidang fisioterapi sejak zaman sekolah menengah, ketika aktif mewakili sekolah dalam sukan bola lisut di peringkat negeri dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Minat tersebut semakin mendalam apabila beliau menyedari kepentingan fisioterapi dalam membantu atlet mengekalkan prestasi dan pulih daripada kecederaan. 

Selepas menamatkan pengajian, Ashraff memulakan kariernya di sebuah pusat perubatan sebelum beralih sepenuhnya kepada fisioterapi sukan apabila menyertai Selangor FC pada tahun 2018. Bagi beliau, fisioterapi bukan sekadar merawat kecederaan, tetapi satu tanggungjawab untuk membimbing individu pulih secara menyeluruh dari segi fizikal, mental dan keyakinan diri. Sepanjang bersama Selangor FC, beliau menabur bakti di pelbagai peringkat pasukan termasuk skuad Piala Belia, Piala Presiden, skuad futsal, serta skuad utama Selangor FC.

Antara pengalaman paling bermakna sepanjang kerjayanya adalah berpeluang membantu beberapa pemain utama kembali ke padang selepas mengalami kecederaan serius. Antara nama yang pernah beliau bantu memantau termasuklah Rufino Segovia, Brendan Gan, Shahrel Fikri, Nik Sharif dan Noor Al Rawabdeh. Selain pemain bola sepak, beliau juga pernah memantau pelakon terkenal Malaysia, Hairul Azreen, pada tahun 2023. “Melihat mereka yang pernah saya rawat kembali beraksi di padang merupakan satu kepuasan yang amat bermakna. Ia mengingatkan saya tentang matlamat sebenar dalam bidang ini, membantu seseorang kembali pulih daripada kecederaan yang dialami,” jelasnya.

Pengalaman merawat atlet profesional banyak mengajar beliau tentang ketepatan, kesabaran, dan kepentingan perancangan strategik dalam setiap proses pemulihan. Nilai-nilai inilah yang kini diterjemahkan dalam pendekatan rawatan di Red Giants Medical Centre. Menurut Ashraff, RGMC menekankan pendekatan berasaskan sains dan bukti klinikal bagi memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang menyeluruh dan efektif.

“Kebanyakan pesakit yang datang ke RGMC berdepan kecederaan jangka panjang seperti di bahagian lutut, pergelangan kaki, dan tulang belakang. Kami menjalankan pemeriksaan menyeluruh secara bersemuka bagi memastikan diagnosis yang tepat dan pelan rawatan yang sesuai. Pendekatan ini membolehkan kami merancang proses pemulihan secara berperingkat, mengikut tahap kecederaan dan gaya hidup pesakit,” ujar Ashraff.

RGMC menawarkan pelbagai rawatan fisioterapi profesional termasuk terapi manual, senaman pemulihan, penggunaan alat modality untuk membantu penyembuhan tisu, serta teknik lanjutan seperti dry needling, sports massage dan taping. Melalui pendekatan menyeluruh ini, RGMC bukan sekadar pusat rawatan, tetapi juga tempat pesakit membina semula kekuatan dan keyakinan untuk kembali aktif.

Selain aktif di klinik, Ashraff turut berkongsi ilmu dan kesedaran mengenai fisioterapi melalui media sosial. Beliau berhasrat agar lebih ramai masyarakat memahami kepentingan mendapatkan rawatan daripada pakar bertauliah berbanding mencuba rawatan sendiri tanpa panduan. “Fisioterapi bukan hanya untuk atlet, tetapi untuk semua golongan masyarakat yang ingin menjaga kesihatan otot, sendi dan pergerakan tubuh dengan cara yang betul,” tambahnya.

Menutup perbualan, Ashraff menzahirkan rasa syukur atas perjalanan kariernya yang penuh cabaran dan banyak pengalaman berharga, “Saya masih ingat pesan seorang jurulatih, jangan risau apa yang kelab boleh berikan kepada awak, sebaliknya fikir apa yang awak boleh sumbangkan kepada kelab. Prinsip itu saya pegang hingga ke hari ini, bukan sahaja ketika bersama pasukan, tetapi juga dalam setiap sesi rawatan di RGMC,” katanya.

Dengan pengalaman luas dalam fisioterapi sukan dan komitmen tinggi terhadap pemulihan pesakit, Mohammad Nor Ashraff terus berusaha menjadikan Red Giants Medical Centre sebagai pusat rawatan pilihan bagi mereka yang ingin kembali aktif, sihat dan yakin menjalani kehidupan harian.

Merah Kuning Lambang Kebangaan!

Mohammad Nor Ashraff Bin Amran
Pengurus RGMC Shah Alam